Assalamualaikum..

Assalammualaikum..Selamat Datang..

Friday, 29 May 2015

Kuda Perang Dengan Tuannya, Kita Dengan Allah SWT





"Kuda perang gagah perkasa,
 Dilayan biasa-biasa sahaja,
Namun mengabadikan diri sepenuh jiwa,
Di medan perang menaruh nyawa,
 Manusia diberi pelbagai perkara,
Lemah dan tidak punya apa,
 Namun lupa kepada Tuhannya"








Dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan mehnah dan dugaan, ditambah pula dengan tanggungjawab mentaati Allah SWT, kadangkala memang mudah kita merungut dan rasa terbeban.

Apabila begitu, kita mula mempersoalkan mengapa perlu taat kepada Allah, apa yang kita dapat, dan macam-macam lagi. Kerana dek kepenatan, kita mula berasa mahu melepaskan diri daripada semua tanggungjawab ini. Kita fikir ia tidak berbaloi. Namun, bijaksananya Allah SWT dalam memotivasikan hamba-hamba-Nya supaya kekal di jalan kebenaran, Dia turunkan untuk kita satu surah yang menceritakan perihal kuda perang. Ya, kuda perang. Yang dibesarkan untuk berperang. Yang pergi ke medan perang dengan peratusan kemungkinan tertinggi untuk bertemu dengan kematian.



Surah Al-Adiyat yang bermaksud:

"Demi kuda perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya. Serta mencetuskan api dari telapak kakinya. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu. Lalu, menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada didalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka maha mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikan-Nya kepada) mereka pada hari itu".

Surah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, bahagian pertama dari ayat 1 hingga ayat 5 yang memfokuskan kita kepada keadaan kuda perang. Bahagian kedua bermula dari ayat 6 hingga ayat 11 merupakan refleksi kepada kehidupan kita sebagai manusia.
          


Kuda Perang, Kehidupan dan Tuannya

Apabila kita perhatikan keadaan hidup kuda perang, kita maklum bahawa kehidupannya ialah kehidupan yang merbahaya. Allah SWT menggambarkan betapa beratnya kehidupan kuda perang dengan mempersembahkan kepada kita situasi-situasi yang perlu dihadapi oleh kuda perang.

Kuda perang perlu berlari dengan tangkas hingga kedengaran kencang nafasnya. Kuda perang apabila bersungguh-sungguh, ladam pada kakinya akan bergesel dan hingga boleh tercetus percikan api. Kuda perang perlu menyerbu musuh mengikuti tuannya walau dalam apa ketika sekalipun, dan dalam surah ini juga digambarkan pada waktu subuh, yang mana kita manusia pun masih lena diulit mimpi. Debu-debu medan perang naik dan mengganggu penglihatan mereka, membuatkan mereka sukar memandang bahaya yang bakal menimpa. Dan kuda perang perlu menggempur di tengah kumpulan musuh yang ramai, membuka dirinya kepada segala malapetaka.

Apakah kuda perang dilayan bagai maharaja oleh tuannya hingga kuda perang sanggup merisikokan hidupnya sedemikian rupa?

Kuda perang jikalau tidak berperang, hidupnya di bangsal. Makanannya tidak mewah. Hidupnya biasa sahaja. Tidaklah sehebat mana jikalau hendak diukur dengan pengorbananya.

Apakah kuda perang lari dari tanggungjawabnya? Tidak. Dia tetap melaksanakannya. Ya, itulah dia kuda perang. Mengapa Allah SWT meletakkan kuda perang sebagai perbandingan kepada kita?


 Kita dan Allah SWT

Bahagian kedua surah Al-'Adiyat adalah refleksi kepada kita sebagai manusia yang hidup bertuhankan Allah SWT dan mengharap belas rahmat inayah-Nya. 

Selepas menceritakan perihal kuda perang, Allah terus memulakan refleksi kepada manusia dengan menyatakan bahawa kita adalah amat tidak bersyukur kepada Allah SWT. 

Setelah menggambarkan kehidupan kuda perang, risiko yang perlu diambil, tanggungjawabnya yang berat dan kemudian layanannya yang tidaklah seberapa, Allah SWT seakan-akan mahu berkata kepada manusia-manusia yang masih lagi tidak bersyukur dengan segala nikmat dan kasih sayang yang Allah SWT curahkan kepada manusia, yang berkali-kali ganda jauh lebih baik daripada kehidupan seekor kuda perang. 

Allah SWT menyatakan kita terlalu materialistik. Mengejar sangat kesenangan, keselesaan, kekayaan. Hingga hendak mentaati Allah SWT pun payah dan terasa berat serta susah. Sedangkan Allah SWT bukan mahu kita taat kepada-Nya untuk kegunaan diri-Nya. Maha suci Allah SWT, Dia tidak memerlukan kita. 

Namun ketaatan kita kepada-Nya hanya akan memberikan manfaat kepada diri kita sendiri. Ketaatan kita kepada Allah SWT menjauhkan diri kita daripada kerosakan dan kefasadan. 

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT memotivasikan kita bagi mentaati-Nya dengan pelbagai ganjaran dan janji balasan yang indah-indah. Semaklah Al-Quran dan lihatlah pelbagai janji Allah SWT untuk mereka yang taat kepada-Nya. Syurga yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan, gandaan pahala, pengampunan dosa, ketenangan jiwa, kebersihan hati. Pelbagai!

Di sini lah Allah SWT mengingatkan kepada kita manusia, bagi mengenang hari kita dibangkitkan dari kubur. Allah SWT mahu kita fikir, apakah yang berharga ketika itu. Apakah kesenangan, keselesaan kita terhadap apa yang materialistik, ataupun ketaatan kita kepada Allah SWT? 

Allah menutup surah Al-'Adiyat  dengan mengingatkan bahawa Allah SWT sahajalah yang mampu membantu manusia pada hari mereka dibangkitkan semula di akhirat kelak.

Tidaklah seperti kuda perang, yang mana selepas kematiannya, tuannya akan meninggalkannya. Sudahlah hidupnya penuh berisiko, dengan ganjaran layanan tidak seberapa. Selepas mati, tuannya tidak lagi bertanggungjawab kepadanya.

Tetapi tidak dengan Allah SWT...

Selepas kita mati, kita akan berada di alam barzakh dengan mukadimah terhadap balasan terhadap perkara yang kita laksanakan di dunia. Kemudian, dibangkitkan di mahsyar, untuk diadili dan dihisab oleh Allah SWT. Dan kemudian masing-masing mendapat balasan masing-masing mengikut rahmat dan kasih sayang Allah SWT, sama ada ke syurga ataupun neraka. 

Di sinilah kita perlu bertanya, sejauh manakah komitmen kita dalam mentaati Allah SWT itu?



Kita Bukan Kuda Perang

Kuda perang mungkin bersetuju dengan kehidupannya adalah kerana dia tidak mempunyai akal. Justeru, dia terpaksa sahaja mengekori hajat tuannya. Dia terpaksa menerima sahaja layanan tuannya. 

Tetapi, kita bukan kuda perang. Kita ada akal. Dan akal inilah yang dijentik oleh Allah SWT pada saat membandingkan kita dengan kuda perang. Kuda perang mati, dia tidak akan dibangkitkan semula di akhirat untuk dihisab. Kita bukan kuda perang. Kita akan dibangkitkan semula dan dihitung amalan.

Segala penat lelah kita di dunia ini akan mendapat ganjaran yang jauh lebih berharga daripada segala keletihan dan pengorbanan kita.

Maka sepatutnya akal kita menilai semula dedikasi kehidupan kita ini kepada Allah SWT,

Apakah masih patut kita sambil lewa pada perintah-Nya?

Apakah masih boleh suka-suka hendak melaksanakan apa yang dilarang oleh-Nya?

Akal kita perlu menilai dan meneliti perkara ini.

Kita bukan kuda perang yang tiada pilihan. Allah SWT menghormati akal yang Dia ciptakan untuk kita ini dengan memberikan kita kuasa memilih.

Namun, setiap perkara ada konsekuensinya.

Apakah kita hendak menjual kesenangan akhirat dengan mengambil kesenangan di dunia, sedang kesenangan di dunia itu murah harganya?

Ataupun kita sanggup tunduk dan mentaati Allah SWT, menerima dunia sebagai ujian, memahami bahawa di dunia ini ada perkara yang boleh kita lakukan, ada yang tidak boleh kita lakukan, dan seterusnya bergerak menggapai kesenangan yang abadi dengan rahmat Allah SWT di akhirat kelak?

Allah SWT sedang menjentik minda dan hati kita.

Kita bukan kuda perang.

Maka sepatutnnya kita boleh buat keputusan yang lebih baik.

Dan Allah SWT bukan 'tuan' yang biasa-biasa. Dia pencipta alam semesta, berkuasa atas segala-galanya!




Bab 18: Kuda Perang dengan Tuannya, Kita dengan Allah SWT
Untuk Kita Pendosa 30 Hari Mencari Tuhan
Hilal Asyraf, 2015

Tuesday, 26 May 2015

Tazkirah Kasar Degil dan Angkuh..


Assalamualaikum..



KASAR, DEGIL dan ANGKUH itu sifatnya ahli Neraka. Sekiranya kita ada sifat tersebut maka hendaklah dibersihkan sebelum ajal tiba.

KASAR pada kata atau perbuatan dan tingkah lakunya? Maka didiklah sifat itu dengan sabar, tenang, sopan santun dan kemaafan.

DEGIL merasakan benar diri, pantang ditegur, pantang dikritik, tidak boleh menerima nasihat, jumud taksub. Maka didiklah sifat itu dengan tawaddu',  fikiran yang tenang dan rasional serta berlapang dada.

ANGKUH merupakan sebahaya-bahaya sifat bagi makhluk. Merasakan diri hebat, rasa mulia, memandang rendah selain dirinya. Atasinya sifat angkuh dengan rasa tawaddu', kerendahan hati dan rasakan di hati, segala kelebihan, segala kehebatan, segala kemuliaan, segala keistimewaan, segala kebolehan adalah semata-mata kurniaan Allah SWT yang menjadi ujian bagi diri.

Sifat tenang, tawaddu' dan penyantun merupakan tanda dikasihi Allah SWT. Bila dikasihi Allah SWT tentulah syurga tempatnya. Jika tiada sifat ini dalam diri, usahakanlah bersungguh-sungguh, sebelum meninggalkan dunia ini.



Wassalam..


... air mata ahli syurga..


Assalamualaikum saudaraku,


Manusia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan perasaan sedih, pilu dan sebagainya yang menjadi rutin kehidupan seorang hamba. Tiada manusia yang sentiasa gembira sepanjang hayatnya. Ia adalah fitrah semulajadi manusia. Sekiranya kita melihat kepada Sirah nabi Muhammad SAW, Baginda juga pernah bersedih, iaitu ketika kematian isterinya Saidatina Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Thalib dalam satu-satu masa. Tahun tersebut telah dinamakan "Tahun Kesedihan".

Sehingga hari ini kita mengetahui tentang kisah tersebut. Hakikat yang perlu kita ambil di sini ialah bagaimanakah kita hendak menghilangkan kesedihan yang ada? Sekiranya kita melihat kepada sebab-sebab berlakunya kesedihan, seperti perpisahan, pergaduhan, kebencian dan sebagainya. Dan hakikat ini tidak boleh lari daripada kehidupan seorang manusia. Oleh itu, seseorang itu terpaksa berhadapan dengannya, dan mampu untuk mengawal kesedihan tersebut supaya tidak melampaui batasan. 

Bukankah Nabi SAW sendiri melarang umatnya daripada menangisi pemergian seseorang? Satu ketika, anak Baginda SAW meninggal dunia, lalu Nabi SAW menitiskan air mata kerana pemergiannya. Lalu sahabat Baginda SAW bertanya, bukankah engkau melarang daripada menangisi kematian? Baginda SAW menerangkan bahawa itulah perasaan mannusia, tetapi hendaklah dikawal suaya tidak melampau, dengau meraung, menyakitkan badan dan sebagainya. 

Kadangkala kita merasa sedih disebabkan ujian yang menimpa kita. Ujian tersebut diuji oleh Allah SWT untuk melihat kekuatan dan kesabaran kita di dalam menghadapi ujian tersebut. Semakin dekat seseorang itu dengan Allah SWT, semakin tinggilah ujiannya. Antara ujian tersebut ialah kesedihan. Ketika Nabi SAW berada di dalam Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar, Baginda telah menyatakan kepada beliau, "janganlah bersedih, Allah bersama kita". Bagaimanakah pula kita hari ini? 

Kita sering diuji dengan kesedihan, tetapi pernahkan kita bertanya kepada diri sendiri, berapakah besarnya nilai kesedihan tersebut? Atau berapa mahalkah nilai benda yang disedihkan itu? Atau kenapa aku perlu bersedih, bukankah Allah SWT bersamaku? Atau, kenapakah perlu aku bersedih sekiranya diuji, sepatutnya aku gembira kerana berada hampir denganNya. Oleh itu marilah kita fikir sejenak. Manusia hari ini sedih disebabkan kehilangan sesuatu benda yang disayangi. 

Sekiranya kehilangan seseorang di dalam hidup, mengapakah kita bersedih sedangkan kita sendiri sudah tahu bahawa setiap jiwa pasti akan pergi? 

Sekiranya seseorang itu bersedih kerana diuji dengan ujian yang besar, mengapakah kita bersedih sedangkan ujian tersebut adalah tanda hampirnya kita dengan Allah? 

Sekiranya kita bersedih kerana putus cinta, mengapakah kita bersedih sedangkan cinta yang sebenar milik Allah? Bukankah Dialah yang menjodohkan seseorang? 

Sekiranya sudah ditetapkan jodoh seseorang, maka tidak perlulah disedihkan kerana sudah pasti cinta itu tiada pada orang yang memutuskan cinta tersebut. 

Maka, apa lagi, yang perlu disedihkan? Apakah sebenarnya yang sepatutnya menyedihkan kita? Fikirkan dalam keadaan yang tidak sedih kerana tiada yang dapat menyedihkan kita selain kemurkaanNya.


"Ya Robb, selamatkan kami dari kemurkaanMu dan NerakaMu"
"Selamat tinggal Kesedihan ku"

Wassalam..


Monday, 25 May 2015

Romantik Itu Sunnah Rasulullah S.A.W



Setiap pasangan suami isteri memang memerlukan hubungan intim, kerana ia merupakan fitrah semulajadi manusia yang sempurna. Malah itulah antara tujuan Islam menggalakkan perkahwinan, sebagai mengisi tuntutan fitrah semulajadi ini. Antara perkara yang boleh membantu mencetuskan hubungan intim ialah bersifat romantik. Malah ia boleh menjadi penyubur kasih sayang antara suami isteri. Sikap romantik lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang. Ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan sehari-hari. Ia bukanlah satu sikap yang negatif, atau terpengaruh dengan cara hidup kebaratan, seperti yang dipandang sesetengah masyarakat Melayu. Sikap ini perlulah dikekalkan sepanjang masa, walaupun pada usia perkahwinan yang semakin bertambah. Gangguan anak-anak malah cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi bersikap romantik. Sikap ini bukan sekadar perlu dilahirkan di bilik tidur, sebaliknya di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, selagi ia berada dalam batas dan kesopanan adab islam. Menurut kajian pakar, semasa dalam keadaan intim, orang lelaki lebih cenderung kepada kegiatan seksual, namun orang perempuan lebih suka dan cenderung kepada sikap romantik suami. 


Petua Mengekalkan Sifat Romantis

  1. Isteri bukan sahaja menghias keseluruhan rumah, tapi yang penting bijak menghias bilik tidur untuk mewujudkan suasana yang romantik. Apabila ini dapat dilakukan, suami akan sentiasa berasa gembira sehingga sikap romantik yang ada dapat disuburkan.
  2. Isteri hendaklah menjaga penampilan di hadapan suami dengan memakai pakaian yang menarik dan bau-bauan yang menyenangkan suami.
  3. Usah malu menggunakan ungkapan-ungkapan cinta semasa berdua-duaan, seperti yang lazim diucapkan oleh pasangan yang bercinta.
  4. Di celah-celah kesibukan dengan kerjaya dan menguruskan rumah tangga, suami dan isteri hendaklah bijak mencari masa untuk berdua-duaan tanpa gangguan anak-anak.
  5. Pada ketika-ketika tertentu, layangkan kad ucapan yang mengandungi kata-kata romantik yang penuh kasih sayang. 
  6. Sekiranya timbul sebarang masalah dalam berumah tangga dan hubungan suami isteri, hendaklah ditangani dengan segera masalah tersebut. Usah biarkan masalah itu berlarutan sehingga lukanya membekas di hati. Kalau boleh dielakkan, tidak perlu melibatkan orang ketiga yakni orang luar.


Sikap Romantis Yang Perlu Dilahirkan


1. Ciuman mesra.Memberi ciuman mesra kepada isteri tatkala isteri mencium tangan suami tatkala hendak keluar bekerja atau baru pulang ke rumah, Ciuman adalah lambang kesetiaan, peniup semangat untuk isteri dan suami meneruskan kehidupan seharian.

2. Mendakap isteri setiap kali sebelum keluar rumah.Ia akan mencetuskan ingatan yang berpanjangan sewaktu suami dan isteri berpisah, sama ada dalam jangka masa singkat, lebih-lebih jika berjauhan lama.

3. Ucapan.
Selalu mengucapkan perkataan-perkataan yang menunjukkan kasih sayang yang mendalam kepada isteri. Contohnya ucapan "Sayang, I love you", "I missed you" dan sebagainya, terutama ketika akan berpisah, sama ada lama atau sekejap, jauh atau dekat.

4. Panggilan.Memanggil isteri dengan panggilan/gelaran yang disukai. Contohnya "ayang", "darling" atau apa jua panggilan manja yang amat disenangi, maka ianya dapat memberi impak bermakna buat isteri.

5. Usik mengusik.Selalu usik-mengusik dan bergurau senda. Usik mengusik dan senda gurau boleh menjadi rencah kepada menghidupkan suasana lebih romantik.

6. Berjalan beriringan di luar rumah.
Seing berlaku, di awal perkahwinan pasangan suami isteri ibarat belangkas apabila berjalan bersama. Namun apabila usia perkahwinan meningkat, anak-anak semakin bertambah, suami isteri tidak lagi berjalan beriringan, seorang di hadapan, seorang di belakang. Seeloknya Jika tida halangan, jalan berpegangan tangan dan jika melintas jalan, memegang lengan atau bahu isteri tanda melindungi.

7. Jauhi perkara yang boleh menyakitii atau menyinggung hati isteri.Perkara ini perlu diberi perhatian, kerana hati wanita biasanya sensitif.




Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2